Friday, September 18, 2020

BIMBINGAN TINGKAH LAKU KANAK-KANAK

Pendahuluan

Secara am nya, “Tingkah Laku” adalah sebarang tindakan atau tindak balas terhadap sesuatu objek atau organisma secara sedar atau separa sedar, nyata atau terselindung, rela atau tidak, sejadi atau dipelajari. Dalam bidang psikologi, tingkah laku manusia berbentuk biasa, luar biasa, boleh diterima, atau tidak boleh diterima berdasarkan bagaimana seseorang itu menilai tingkah laku berdasarkan norma sosial. Manakala dalam bisang sosiologi tingkah laku dianggap tidak bermakna kerana ia tidak ditujukan kepada orang lain. Tingkah laku boleh dipengaruhi oleh budaya, sikap, emosi, nilai, etika, autoriti, hubungan baik, hypnosis, pujukan, paksaan atau genetik.

Menurut Lewis M.Beaker (2001), tingkah laku adalah sebarang perbuatan yang dilakukan samada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Manakala menurut Gary Martin dan Joseph Pear (2003), tingkah laku merangkumi aktiviti, aksi, prestasi, bertindak balas, tindakan, dan reaksi dari segi Teknik, aktiviti yang melibatkan otot, -otot, kelenjar (glandula) dan aktiviti elektrik oleh setiap organ. Secara keseluruhannya, tingkah laku adalah apa sahaja yang diperkatakan dan dilakukan oleh seseorang individu itu. Carl Rogers (1999) pula menekankan bahawa seseorang individu bertingkah laku mengikut persepsi diri sendiri dan keadaannya. Dari segi perspektif Islam, Imam Al-Ghazali mengatakan tingkah laku manusia mempunyai tujuan agama dan kemanusiaan. Tingkah laku normal dan tidak normal. Tingkah laku terbahagi kepada dua iaitu Tingkah Laku Positif dan Tingkah Laku Negatif.


5 Ciri Tingkah Laku Kanak-kanak

👀Terdapat dua jenis tingkah laku, iaitu:

Tingkah Laku Positif.

Tingkah laku positif adalah satu proses untuk perkembangan kanak-kanak secara seimbang. Selain itu, kanak-kanak juga akan berasa lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Tingkah laku positif juga adalah sikap ingin tahu yang tinggi menyebabkan kreativiti kanak-kanak boleh dikembangkan melalui aktiviti yang dijalankan oleh guru. Antara contoh tingkah laku positif adalah:

  • ·       Tingkah laku ingin tahu- sikap ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu perkara yang dilihat.

  • ·       Tingkah laku cepat belajar- cepat menangkap atau 'catch up' sesuatu perkara yang baru dipelajari, dapat mempelajari sesuatu yang baru dengan cepat.

  • ·       Tingkah laku pintar cerdas- sentiasa cepat dan pantas apabila menggunakan otak dan berfikir.

  • ·       Tingkah laku proaktif- sentiasa menunjukkan kesungguhan atau sikap maju ke depan berbanding kawan-kawan yang lain.

Faktor tingkah laku positif adalah seperti baka, pengaruh tadika(guru), rakan sebaya, keluarga dan keadaan fizikal bilik darjah.

Tingkah Laku Negatif.

Tingkah laku negatif pula merupakan tingkah laku yang mampu memberikan masalah dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Jenis tingkah laku negatife:

  •     Tingkah laku merosakkan (destruktif)👉 Tingkah laku agresif untuk melihat orang lain mengalami kesusahan atau menderita atau merasa seronok apabila orang lain mendapat malang seperti merosakan sesuatu alatan atau benda, mematahkan, menconteng dan lain-lain.

  • ·        Tingkah laku mengganggu (distruktif)👉 Perlakuan melampau yang mengganggu orang lain atau sesi pengajaran dan pembelajaran seperti membuat bising, mengganggu rakan, menolak-nolak, bertumbuk,menjerit, bercakap dengan kuat dan lain-lain.

  • ·    Pengunduran diri👉 Keadaan kanak-kanak yang menarik diri daripada sesuatu situasi atau keadaan kerana rasa rendah diri, rasa tidak selamat, rasa terancam, kurang kemahiran atau malu.

  • ·      Hiperaktif👉 Keadaan kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam, bergerak ke sana ke mari tanpa tujuan dan sukar dikawal. kanak-kanak ini tidak takut kepada orang, kerap menangis, suka ketawa, sukar beri tumpuan terhadap permainan atau kerja yang dilakukan dan mudah mengamuk apabila kehendak tidak dilayan.

  • ·     Kebimbangan👉 Kanak-kanak yang berkeadaan tidak tenteram atau kurang senang atau takut disebabkan guru dan murid lain akan memandang rendah terhadap dirinya. Contohnya, dalam pelaksanaan aktiviti.

  •    · Pergantungan berlebihan👉 Kanak-kanak yang bergantung secara berlebihan kepada orang lain seperti ibu bapa, guru, rakan sebaya dan tidak dapat berdikari atau membuat keputusan sendiri.

Faktor tingkah laku negatif adalah keluarga, peranan guru, keadaan fizikal bilik darjah dan pengaruh rakan sebaya.

 

5 Cara Bimbingan Tingkah Laku Berasaskan Amalan Bersesuaian dalam Perkembangan Kanak-kanak (DAP)

Bimbingan tingkah laku kanak-kanak perlu diberikan keutamaan sejak kanak-kanak tersebut dalam tempoh lapan tahun pertama kehidupan kanak-kanak. Dalam pendidikan awal kanak-kanak, terdapat prinsip atau amalan yang dikenali sebagai Amalan Yang Bersesuaian Dengan Perkembangan (ABP) atau Developmentally Appropriate Practice (DAP). ABP ini berfungsi sebagai panduan untuk pendidik dalam merangka aktiviti pembelajaran dan pendidikan yang sesuai untuk anak-anak usia awal.

Bimbingan tingkah laku kanak-kanak hendaklah mengambilkira perkembangan domain fizikal, sosial, emosi dan kognitif yang saling berkaitan antara satu sama lain. Perkembangan salah satu domain akan mempengaruhi perkembangan domain yang lain. Sebagai contohnya, seorang guru hendaklah mengenal pasti potensi fizikal kanak-kanak dan menggalakkan perkembagan potensi tersebut secara optimum supaya ia boleh mempengaruhi emosi kanak-kanak supaya berfikiran positif.

Seterusnya, perkembangan kanak-kanak berlaku secara berturutan di mana diikuti dengan kemahiran, pengetahun dan kebolehan yang boleh dipupuk dari semasa ke semasa. Oleh itu, guru sebagai pembimbing hendaklah memastikan persekitaran kanak-kanak adalah sesuai untuk sesuatu pembelajaran supaya ia dapat memupuk proses kemahiran, pengetahuan dan kebolehan kanak-kanak secara optimum.

Kanak-kanak merupakan individu yang unik dan perbezaan dari segi minat, keperluan, kekuatan, personaliti, emosi, gaya pembelajaran dan latar belakang keluarga. Proses bimbingan secara berterusan akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Oleh itu, guru perlu menerima keadaan kanak-kanak dan menyediakan aktiviti yang sesuai dengan mereka. Sebagai contohnya, bagi kanak-kanak yang aktif dan kurang tumpuan, guru perlu memastikan kanak-kanak dibimbing mengikut keperluan mereka. Antaranya sentiasa memastikan wujudnya eye contact semasa memberikan arahan dan berikan ganjaran atau pujian setiap kali kanak-kanak berjaya melakukan sesuatu dengan baik.

Setiap kanak-kanak akan merasa susah untuk memulakan pembelajaran di sekolah buat kali pertama. Contohnya, apabila kanak-kanak mula memasuki prasekolah, mereka akan mengalami pengalaman pertama yang sukar. Peranan guru sebagai pembimbing tingkah laku amat penting dalam situasi ini. Guru perlu lebih peka akan keadaan ini dan merancang aktiviti pembelajaran yang boleh memberikan pengalaman yang bermakna dan menggembirakan kepada kanak-kanak.

Seterusnya, dalam proses membimbing tingkah laku kanak-kanak, guru perlu memahami latar belakang kanak-kanak dan persekitaran kanak-kanak membesar sejak lahir. Antara keadaan yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak adalah sosio budaya keluarga, komuniti dan masyarakat setempat. Guru berperanan untuk mempelajari dan memahami sosio budaya ini dan kesan terhadap perkembangan dan pengalaman pembelajaran kanak-kanak. Aktiviti yang disediakan juga hendaklah bersesuaian dengan persekitaran tempat kanak-kanak itu membesar.


5 Peranan Pendidik dalam Pengasuhan Awal Kanak-kanak

Sebagai seorang guru khususnya guru pra sekolah adalah menjadi satu tanggung jawab dalam memberikan rangsangan kepada pembelajaran kanak-kanak sama ada secara langsung ataupun tidak. Selain itu, kita juga tahu guru memainkan peranannya sebagai pengganti ibubapa, sebagai cermin kepada kanak-kanak, sebagai pendorong ke arah pembelajaran dan juga mempunyai pengaruh yang penting dalam membentuk perwatakan serta proses penyesuaian diri kanak-kanak.

1. Guru sebagai pengganti ibubapa.

Kanak-kanak yang datang ke pusat pra sekolah buat pertama kalinya sudah tentu berasa takut, sedih dan menghadapi emosi yang boleh mengganggu ketenteraman jiwa mereka. Pada peringkat ini kanak-kanak sangat sensitif kepada keadaan sekeliling mereka seperti ketenteraman emosi, kepercayaan dan keselamatan diri. Guru mestilah menunjukkan kasih sayang, tingkah laku yang lemah lembut, riang dan aktif, bermuka manis dan menggunakan nada suara yang lunak apabila bercakap.

2. Guru sebagai contoh yang baik kepada kanak-kanak.

Guru mempunyai pengaruh yang penting dalam kehidupan kanak-kanak. Di peringkat awal kanak-kanak, guru adalah contoh yang utama kepada mereka. Secara langsung atau tidak, kanak-kanak memerhati dan meniru kelakuan guru. Guru hendaklah menggunakan peluang yang didapati di pusat pra sekolah untuk menunjukkan teladan yang baik serta menerapkan tabiat yang positif kepada kanak-kanak itu.

3. Guru sebagai pendorong yang menggalakkan pembelajaran kanak-kanak.

Melalui permainan atau aktiviti tidak formal adalah antara cara lain kanak-kanak belajar. Guru pra sekolah perlu menyediakan berbagai-bagai jenis aktiviti pembelajaran yang menggembirakan dengan melibatkan kanak-kanak secara aktif. Semasa kanak-kanak berinteraksi dengan alam sekeliling, mereka digalakkan menyoal, mencuba, meneroka dan menggunakan segala derianya untuk menyedari dan memahami perkara-perkara yang berlaku di persekitarannya.

4. Peranan guru dalam membentuk perwatakan dan proses penyesuaian diri kanak-kanak.

Mewujudkan suasana riang dan mesra kepada kanak-kanak dapat mendorong mereka ke arah pembelajaran yang aktif serta perkembangan yang seimbang. Program prasekolah seharusnya menggalakkan kanak-kanak memperolehi amalan mental yang sihat seperti suka dan bergembira membuat sesuatu aktiviti, bersikap pengasih dan penyayang terhadap sesuatu aktiviti dan org lain. Sanggup menolong dan membantu sesama sendiri, berkongsi menggunakan alat-alat permainan dengan cara bergilir, menghormati dan menghargai hak orang lain.

5. Peranan guru dalam masyarakat.

Guru memainkan peranan yang penting terutamanya di peringkat  prasekolah kearah membentuk perkembangan seorang kanak-kanak aktif dan positf. Guru adalah agen sosialisasi dalam memupuk perpaduan di pendidikan awal kanak-kanak. Kesan sosiolisasi yang baik akan membentuk akhlak yang baik, menanam nilai-nilai murni dan mengembangkan fungsi perpaduan. 


Rumusan

Secara amnya, pembentukan dan bimbingan tingkah laku kanak-kanak adalah amat penting bagi membentuk seseorang individu yang berakhlak mulia, tinggi sahsiah diri menghormati orang lain. Kedua-dua tingkah laku, mahupun positif atau negatif perlu dibimbing dan dipantau seawal usia kanak-kanak 8 bulan. Selain ibubapa, guru juga penting bagi membentuk dan membimbing kanak-kanak kerana juga merupakan agen sosiolisasi yang penting bagi seseorang kanak-kanak itu. 


Rujukan

  • https://ms.wikipedia.org/wiki/Tingkah_laku
  • https://ms.wikipedia.org/wiki/Tingkah_laku_manusia
  • http://kellytan940302.blogspot.com/p/definisi-tingkah-laku-tingkah-laku.html
  • http://sarjana.tripod.com/
  • http://faizsamsul.blogspot.com/
  • https://www.scribd.com/presentation/369585854/Amalan-Bersesuaian-Dengan-Perkembangan-Kanak-kanak
  • https://www.researchgate.net/publication/336737915_Amalan_Bersesuaian_Perkembangan_sebagai_Kompetensi_Profesional_Guru_dalam_Pendidikan_Prasekolah
  • Harian, P. (1970, January 01). Tingkah Laku Kanak-Kanak. Retrieved September 19, 2020, http://groupofearlyeducationchildhood.blogspot.com/2018/12/tingkah-laku-kanak-kanak.html


Disediakan oleh:

Nor Suhadah Binti Abdullah (DPAK B 2002002)
Wan Noor Madihah Binti Wan Abdullah (DPAK C 2002001)
Nurul Afiqah Binti Shahrulnizam (DPAK C 2002002)
Wan Madihah Binti Wan Abdul Halim (DPAK C 2002003)


 

JOURNEY OF STUDY Template by Ipietoon Cute Blog Design and Bukit Gambang