Friday, November 6, 2020

Perubahan Persekitaran dan Kesannya kepada Kanak-kanak


1.0 PENGENALAN

        Persekitaran adalah antara faktor utama dalam perkembangan sosio-emosi kanak-kanak. Persekitaran adalah sesuatu keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak yang merangkumi sejak dari dalam kandungan sehingga lahir dan membesar. Perubahan adalah suatu peralihan atau penghijrahan daripada satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Menurut Atkinson (1987), perubahan adalah satu kegiatan atau proses membuat sesuatu atau seseorang berbeza dengan keadaan sebelumnya. Persekitaran pula merujuk kepada keadaan di sekeliling termasuk keadaan fizikal, iklim, sosiobudaya, politik, dan interaksi antara sesama manusia dan manusia dan alam sekitar. Menurut Rahil & Habibah (2002), persekitaran atau “nuture” ialah ransangan yang mempengaruhi perkembangan individu.

Menurut Ibn Khaldun (2002), persekitaran yang baik akan menghasilkan akhlak yang baik dan akhlak yang baik itu lahir dari diri sendiri berdasarkan pengamatannya kepada faktor-faktor persekitaran yang boleh mempengaruhi tabiat hidup manusia. Surah As-Shams ayat 8-10 yang bermaksud:

Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan

ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikan

jiwa itu, dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.

Ayat ini menjelaskan bahawa pembentukan peribadi seseorang itu adalah berdasarkan jalan yang dilalui oleh mereka. Jika baik pilihannya, akan membentuk peribadi yang baik dan sebaliknya.

2.0  PERUBAHAN PERSEKITARAN KANAK-KANAK

             Perubahan persekitaran sangat penting untuk seseorang kanak-kanak dalam membantu perkembangan sosioemosi kanak-kanak tersebut. Menurut Teori Ekologi Bronfenbrenner 1977 terdapat lima jenis persekitaran yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak iaitu; Mikrosistem, Mesosistem, Eksosistem, Makrosistem, dan Kronosistem. Teori Ekologi Bronfenbrenner diperkenalkan oleh Urie Brefenbrenner (1917). Teori ini menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak adalah hasil interaksi antara alam sekitar serta mampu mempengaruhi proses peertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

    Mikrosistem ialah persekitaran terdekat di mana kanak-kanak menghabiskan kebanyakan masa mereka untuk berinteraksi. Dalam konteks ini, keluarga bertindak sebagai agen sosiolisasi yang penting terutamanya ibubapa. Institusi kekeluargaan yang mampan mampu menghasilkan kanak-kanak yang positif sikapnya. Kepincangan keluarga, faktor sosioekonomi yang rendah akan menghasilkan kanak-kanak yang agresif serta bersikap rendah diri.

      Mesosistem ialah hubungan antara satu mikrosistem dengan mikrosistem yang lain serta mampu mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak itu. Sebagai contoh, persekitaran di rumah mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak di sekolah. Persekitaran yang ceria di rumah menghasilkan kanak-kanak yang gembira di sekolah. Kanak-kanak akn membawa masalah ke sekolah sekiranya persekitaran keluarga porak peranda dan mempunyai masalah.

         Eksosistem merupakan pengalaman persekitaran yang dilalui oleh kanak-kanak secara tidak langsung akan tetapi hasil daripada keputusan itu mampu mempengaruhi perkembangan mereka. Secara norma, ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak nya. Pemilihan jenis sekolah mampu mempengaruhi sikap dan cara pergaulan kanak-kanak samada di sekolah mahupun di rumah.

        Makrosistem merupakan pengaruh persekitaran yang lebih besar serta dipengaruhi oleh nilai-nilai amalan masyarakat sekeliling, perubahan geografi, polisi sosial dan media massa. Cara pergaulan dengan jiran, perubahan geografi seperti berpindah kawasan tempat tinggal turut mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak.

Kronosistem ialah perubahan yang melibatkan keadaan dalam tempoh suatu masa. Jika dibandingkan, dengan kanak-kanak pada suatu ketika dulu yang lebih banyak meluangkan masa bermain di luar rumah seperti padang dan sungai, kanak-kanak dewasa ini lebih gemar menghabiskan masa menggunakan gajet seperti telefon pintar. Secara umumnya, kelima-lima sistem perubahan persekitaran ini saling berkait antara satu sama lain.

Berdasarkan teori ekologi Bronfenbrenner, perubahan persekitaran kanak-kanak melibatkan keluarga, guru, rakan sebaya, sosio-ekonomi, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat, sumber teknologi serta media massa.

3.0  KESAN PERUBAHAN PERSEKITARAN KANAK-KANAK

Perubahan persekitaran semestinya memberi kesan kepada pembentukan diri dan sosio-emosi seseorang kanak-kanak itu. Keluarga terutamanya ibubapa memainkan peranan penting dalam pembentukan diri kanak-kanak. Cara didikan di rumah mampu menetukan cara pergaulan kanak-kanak apabila berinteraksi dengan orang sekeliling mereka. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga yang mesra dan penuh kasih sayang akan mengalami pengalaman dan perkembangan emosi yang sihat. Selain itu, sosio-ekonomi juga mempemngaruhi perkembangan kanak-kanak.

Perceraian, kematian ahli keluarga terdekat memberi kesan yang mendalam kepada emosi kanak-kanak kerana cara penerimaan kanak-kanak adalah berbeza dengan orang dewasa. Contohnya, kanak-kanak yang mengalami pengalaman perceraian akan merasa rendah diri, sentiasa bersendirian, bersifat memberontak dan pemarah serta cemburukan rakan-rakan yang lain. Kanak-kanak yang berlatar belakangkan sosio-ekonomi yang rendah mampu mempengaruhi perkembangan intelek dan sosial mereka.

Selain keluarga dan ibubapa, sekolah dan guru juga bertindak sebagai agen sosiolisasi yang penting kepada kanak-kanak kerana guru merupakan orang yang paling banyak berinteraksi dengan kanak-kanak selepas ibubapa. Secara tidak sedar, kanak-kanak memerhatikan tingkah laku guru. Jika guru menunjukkan contoh yang tidak baik, ia juga turut mempengaruhi sikap dan tingkah laku kanak-kanak itu. Perpindahan sekolah contohnya, mampu memberi kesan kepada seseorang kanak-kanak itu.

Rakan sebaya juga memainkan faktor utama yang mampu memberi kesan kepada perkembangan sosio-emosi kanak-kanak. Sekolah terutamanya merupakan tempat di mana kanak-kanak mula untuk belajar berinteraksi dengan masyarakat luar selain keluarga. Pergaulan dengan rakan sebaya bukan sahaja mampu mempengaruhi kanak-kanak dari segi emosi, bahkan mampu mempengaruhi kanak-kanak itu dari segi intelek, sahsiah, sosial dan akhlak. Kanak-kanak yang bersosialisasi dengan rakan sebaya yang sopan santun dab baik akhlak secara tidak langsung akan mempengaruhinya serta menerapkan nilai-nilai murni daripada rakan mereka itu.

Di Malaysia, terdapat pelbagai kaum, agama, bangsa dan keturunan. Perbezaan budaya dan masyarakat sekaligus mampu mempengaruhi corak pergaulan seseorang kanak-kanak itu dari aspek sosial-emosi, tingkah laku serta intelek mereka. Perbezaan pegangan agama akan membezakan corak hidup dan perlakuan seseorang itu. Seorang kanak-kanak Melayu Islam dan Cina yang beragama Buddha akan saling menghormati agama masing-masing serta menghormati pantang larang yang terdapat di dalam agama masing-masing. Ini secara tidak langsung mampu mempengaruhi perkembangan sosial mereka untuk sentiasa menghormati orang lain walaupun berbeza pendapat.

Pengaruh teknologi dan media massa sangat memainkan peranan. Kanak-kank dewasa ini sangat berkait rapat dengan pendedahan teknologi dan media massa. Kanak-kanak sangat mudah terpengaruh dengan karektor-karektor animasi di media massa sehingga ia mempengaruhi cara percakapan dan pergaulan mereka dengan ibubapa, rakan dan guru. Pendedahan sumber teknologi yang sihat akan melahirkan kanak-kanak yang positif dan mampu memanfaatkan apa yang mereka lihat dan di media massa.

4.0  PERANAN INDIVIDU, PENGASUH, KELUARGA DAN MASYARAKAT DALAM      MEMUPUK EMOSI KANAK-KANAK YANG POSITIF

Perubahan persekitaran memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri dan perkembangan kognitif, intelek, serta sosio-emosi bagi kanak-kanak. Jesteru itu, setiap individu dan kelompok masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu pembentukan jati diri dan perkembangan kanak-kanak dari segi intelek, sosial dan emosi yang positif.

Peranan individu dalam memupuk emosi kanak-kanak yang positif antaranya ialah sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada kanak-kanak. sebagai contoh, menunjukkan sikap sayangkan alam sekitar. Sampah dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan, tidak merokok di tempat awam, mematuhi arahan lalulintas apabila berada di jalan, menjaga kemudahan awam, dan sebagainya. Dengan menunjukkan sikap yang bertanggungjawab dengan mematuhi setiap arahan, secara tidak langsung ia mempengaruhi perkembangan emosi kanak-kanak yang positif kerana lumrah kanak-kanak memerhatikan keadaan sekeliling mereka. Dengan ini, secara tidak langsung, seseorang individu itu telah memberikan impak positif kepada kanak-kanak itu kerana kanak-kanak suka untuk mengikut kelakuan orang yang lebih dewasa dari mereka.

Pengasuh atau guru adalah orang kedua yang paling rapat dan paling baynak meluangkan masa dengan kanak-kanak selepas ibu bapa. Dalam memupuk emosi kanak-kanak yang positif, pengasuh dan guru memainkan peranan yang penting. Seorang pengasuh atau guru perlu menunjukkan sifat penyayang dan lemah lembut apabila berinteraksi dengan kanak-kanak. kanak-kanak yang berinteraksi dengan pengasuh yang tidak mesra dan tidak menunjukkan sifat dan sikap kasih sayang kepada kanak-kanak akan menyebabkan kanak-kanak itu berasa tidak gembira secara tidak langsung akan melahirkan emosi negatif kepada kanak-kanak.

Keluarga adalah orang yang paling rapat dengan kanak-kanak. Selain ibu bapa, saudara, adik, abang, nenek dan datuk memainkan peranan penting dalam pembentukan emosi yang positif dalam diri kanak-kanak itu. Selain cara didikan, faktor pemakanan juga mempengaruhi perkembangan emosi kanak-kanak. pengambilan makanan yang cukup nutrisi mampu melahirkan kanak-kanak yang aktif dan tinggi inteleknya.

Dalam membentuk emosi kanak-kanak yang positif emosinya, masyarakat sekeliling juga memainkan peranan penting di mana dalam sesuatu kelompok masyarakat, kanak-kanak itu tidak seharusnya di layan berbeza dengan kanak-kanak lain yang berbeza agama, keturunan dan jantina. Di dalam sesetengah masyarakat, kerana berbeza agama dan budaya, kanak-kanak dilayan berdasarkan agama dan budaya mereka dimana kanak-kanak ini tidak dibenarkan untuk bersosial sesama mereka.

Seharusnya, perbezaan inilah yang perlu dijadikan landasan dan keunikan dalam pembentukan emosi dan jati diri yang positif dalam diri kanak-kanak. Dalam masyarakat Malaysia, perbezaan agama, bangsa, agama dan keturunan perlu dijadikan sebagai satu teladan untuk membentuk kanak-kanak yang saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain walaupun berbeza agama, bangsa, budaya dan keturunan. Sikap ini perlu dibentuk dari awal supaya dapat menerapkan nilai-nilai murni positif dalam diri kanak-kanak.

Selain itu, dalam era globalisasi ini, kanak-kanak terdedah kepada rancangan televisyen dan penggunaan teknologi seperti telefon pintar dan internet. Disebabkan kanak-kanak mudah terpengaruh dengan hanya pemrhatian dan tingkah laku, adalah penting untuk media massa seperti televisyen, buku, dan majalah untuk menerapkan nilai-nilai murni di dalam kandungan rancangan yang digemari oleh kanak-kanak.

Selain itu, penggunaan telefon pintar dan internet juga perlu dipantau oleh keluarga terutamanya ibubapa, saudara, guru dan masyarakat bagi mengelakkan kanak-kanak terjebak dengan gejala-gejala tidak sihat. Dewasa ini, penggunaan gajet dan intenet adalah perlu untuk proses pembelajaran dan pengajaran. Maka, penggunaan teknologi ini perlu dipantau dan dikawal sebaiknya bagi menghasilkan dan memupuk emosi yang positif bagi kanak-kanak. 

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, Teori Ekologi Bronfenbrenner yang menyifatkan lima jenis persekitaran yang mampu mempengaruhi perkembangan seseorang kanak-kanak iaitu, Mikrositem, Mesosistem, Eksosistem, Makrosistem dan Kronosistem adalah merangkumi kesemua aspek perubahan persekitaran kepada kanak-kanak. kelima-lima jenis persekitaran ini saling berhubung antara satu sama lain. Secara dasarnya, perubahan persekitaran bagi kanak-kanak merangkumi keluarga, status sosio-ekonomi, rakan sebaya, sekolah, guru dan pengasuh, sumber teknologi dan media massa, serta budaya dan masyarakat setempat mempengaruhi emosi setiap kanak-kanak.

Pengalaman yang dilalui oleh setiap kanak-kanak juga merupakan faktor utama yang menyumbangkan kepada sikap dan tingkah laku mereka dalam bertindak didalam setiap sesuatu situasi. Pengalaman yang menggembirakan akan memupuk sikap, emosi dan tingkah laku yang positif. Pengalaman yang kurang gembira atau sedih akan memupuk emosi dan tingkah laku yang negatif. Emosi kanak-kanak yang stabil mampu menghasilkan kanak-kanak yang aktif, mempunyai nilai murni dan akhlak yang tinggi kerana ibubapa lah orang pertama yang mencorakkan emosi bagi setiap kanak-kanak. 

RUJUKAN

·       Razinah binti Sohor, Nazlinda binti Ismail. Transformasi diri.

https://docs.jpa.gov.my/docs/pelbagai/Artikel/2014/TRANSFORMASI_DIRI.pdf

·       https://www.slideshare.net/weydwyda/faktorfaktor-yang-mempengaruhi-perkembangan-sosioemosi-kanakkanak

·       https://www.slideshare.net/fanera91/konsep-dan-prinsip

·       Mya Afifi. (2009, Ogos, 5). Teori Ekologi Brenfenbrenner. 

http://pelangipetang89.blogspot.com/2009/08/teori-ekologi-bronfenbrenner.html

·       Zakaria Stapa, Ahmad Munawar Ismail, Noranizah Yususf. (2012). Faktor Persekitaran Sosial Dan Hubungannya Dengan Pembentukan Jati Diri

http://journalarticle.ukm.my/6104/1/JD005862_155-172.pdf

·       https://www.slideshare.net/eepapoppins/edup3023-perkembangan-kanakkanak-faktor-yang-mempengaruhi-perkembangan-kanakkanak

 

 


0 comments:

Post a Comment

 

JOURNEY OF STUDY Template by Ipietoon Cute Blog Design and Bukit Gambang